Neymar akan terlepas lawatan Paris Saint-Germain (PSG) ke Lyon dalam Ligue 1 awal pagi nanti akibat kecederaan paha.

Pemain Brazil itu tidak tersenarai dalam skuad Unai Emery, dengan PSG membawa kelebihan sembilan mata berbanding Lyon di tangga kedua menuju ke perlawanan itu.

Neymar meledak empat gol -- hatrik pertamanya bersama PSG -- ketika pasukan Emery itu membenam Dijon 8-0, Khamis lalu.

Tetapi pemain termahal dunia itu dilanda kecederaan dalam kemenangan itu dan kini terlepas aksi menentang Lyon, dengan PSG mengesahkan dia tidak bersama skuad untuk ke Parc OL.

Neymar menerima sorakan peminat PSG pada penghujung aksi menentang Dijon selepas dia berkeras mahu mengambil penalti lewat untuk menjaringkan gol keempatnya -- mengumpul 15 gol dalam liga musim ini.

Dengan kedudukan 7-0 dan rakan sepasukan, Edinson Cavani, menyamai rekod Zlatan Ibrahimovic yang mengumpul 156 gol untuk kelab itu, penyokong melaungkan nama Cavani agar pemain antarabangsa Uruguay itu melakukan tendangan.

Neymar dan Cavani sebelum ini berbalah di atas padang untuk tugas sepakan penalti tetapi Emery menafikan isu tersebut dalam sidang media sebelum perlawanan.

PSG juga akan beraksi tanpa pemain tengah veteran, Thiago Motta, dalam kunjungan ke Lyon manakala Lucas Moura dan Hatem Ben Arfa adalah antara pemain yang direhatkan.