Bintang Brazil, Neymar, menyasarkan peningkatan prestasi ketika menentang Costa Rica selepas membuka aksi Kumpulan E Piala Dunia Russia menentang Switzerland.

Penyerang Paris Saint-Germain (PSG) muncul salah seorang tonggak yang gagal menepati jangkaan yang menyaksikan Brazil gagal menjelmakan samba terbaik.

Selepas tidak dapat berlatih pada Selasa lalu ekoran masalah buku lali dan terhencut-hencut setelah beberapa beberapa minit berlatih, pemain berusia 26 tahun itu mengambil bahagian dalam sesi latihan penuh malam tadi dan berusaha keras untuk menghadapi cabaran malam esok.

Bercakap kepada Persekutuan Bolasepak Brazil (CBF), Neymar berkata: "Saya berharap kami dapat menampilkan aksi lebih baik berbanding penampilan pertama menentang Switzerland, kami mahu menang.

"Kami mahu bermain dengan baik, kami telah mengkaji rakaman aksi Costa Rica biarpun adalah penting untuk bermain dengan corak kami."

Selepas berdepan Costa Rica, Brazil akan melengkapkan aksi Kumpulan E dengan menghadapi Serbia di Moscow.