Neymar pencabar Ballon d'Or, kata Herrera

Oleh Staff Writer 14 September 2019 188
Neymar pencabar Ballon d'Or, kata Herrera
Ander Herrera berasa teruja untuk beraksi di samping Neymar dan percaya pemain Brazil itu mampu mencabar rakan sepasukan mereka di Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe, untuk memenangi Anugerah Ballon d'Or.

Pemain berusia 27 tahun itu kembali daripada kecederaan dengan mewakili Brazil sepanjang waktu rehat antarabangsa lalu dan sedang bersedia untuk menguatkan PSG menjelang pertemuan Ligue 1 dengan Strasbourg lewat malam ini.

Neymar tersenarai sebagai tiga calon akhir anugerah berkenaan dalam dua daripada empat musim lalu dan walaupun dia tidak terlibat dengan kejuaraan Copa America bersama skuad Brazil dan bulan pertama PSG musim ini, Herrera berasakan penyerang itu mampu untuk dinobatkan sebagai pemain terbaik dunia.

Herrera, yang akan melakukan penampilan pertama buat kelab Paris berkenaan sejak menyertainya daripada Manchester United dalam jendela perpindahan lalu, turut menganggap Mbappe dan pemain tengah, Marco Verratti, sebagai antara yang terbaik.

"(Neymar) salah seorang daripada lima pemain terbaik dunia dan calon untuk meraih Anugerah Bola Emas di samping Mbappe," katanya kepada wartawan.

"Saya teruja dan gembira untuk beraksi bersama Neymar.

"Bagi saya, ia amat hebat.

"Ini merupakan peluang terbaik buat saya untuk beraksi di samping pemain seperti Neymar, seperti Kylian ataupun Marco Verratti, yang bagi saya boleh menjadi pemain tengah terbaik tidak lama lagi.

"Kami akan memastikan dia memperoleh musim terbaik dan dia juga pasti begitu," katanya. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen