PSG 6 TOULOUSE 2

Neymar gembira selepas kemunculan sulungnya untuk Paris Saint-Germain (PSG) di Parc des Princes berakhir dengan kemenangan fenomena 6-2, ke atas Toulouse, awal pagi tadi.


Bagaimanapun, dia menganggap aksinya masih boleh diperbaiki.

Pemain Brazil itu berhajat untuk segera menjadikan pelaburan paling mahal di dunia bernilai €222 juta (RM1.1 bilion) yang dibayar PSG kepada Barcelona itu berbaloi apabila memainkan peranan dalam lima gol yang terhasil ketika beraksi di depan penyokong sendiri buat julung kalinya.

Selepas percubaan awalnya terkena tiang, Neymar akhirnya berhasil memadamkan gol awal Max Gradel sebelum Adrien Rabiot meletakkan gergasi Ligue 1 itu di hadapan.

Selepas itu, bintang Brazil itu -- yang menyumbat gol dan mencipta bantuan jaringan di Guingamp minggu lalu -- memenangi sepakan penalti yang disudahkan oleh Edinson Cavani selain membuat umpanan kepada gol sepakan gunting Layvin Kurzawa.

Ketika permainan berbaki 12 minit, PSG kehilangan seorang tonggak, Marco Verratti, akibat kad kuning kedua.

Satu lagi gol PSG dicetak oleh pemain tengah, Javier Pastore.

"Ia aksi yang menakjubkan di Parc des Princes, suasana di sini mengagumkan. Saya sangat gembira dengan penyokong, persembahan pasukan dan semua pemain," kata Neymar kepada Canal +.

"Saya sangat gembira di PSG, ia seperti di halaman sendiri. Saya mahu segera menyesuaikan diri, bertambah baik daripada aspek fizikal -- saya berasakan masih mampu meningkat."

Selepas melihat pasukannya mudah dirobek oleh Neymar, bos Toulouse, Pascal Dupraz, hanya mampu memuji pemain berkenaan.

"Saya mengagumi Neymar. Dia pemain yang bagus dan menyegarkan bola sepak," kata Dupraz.

"Saya menonton aksinya di Barcelona dan untuk melihatnya dalam kancah ini, saya begitu kagum.

"Dua perlawanan awalnya sangat hebat. Saya mahu menggunakan gaya permainannya untuk membantu penggempur saya."