Pengurus Barcelona, Ernesto Valverde, menolak untuk berbincang mengenai kemungkinan membawa semula Neymar yang masih belum menyelesaikan isu berkaitan masa depannya bersama Paris Saint-Germain (PSG).

Pengarah sukan kelab Ligue 1 itu, Leonardo, mengesahkan pasukannya akan mendengar tawaran buat bintang Brazil itu yang meninggalkan Barca menerusi yuran termahal EUR222 juta (RM1.02 bilion) dua tahun lalu.

Dia dilaporkan berhasrat untuk pulang ke Camp Nou, di mana Lionel Messi mahu beraksi sekali lagi bersamanya tetapi seteru utama dalam LaLiga, Real Madrid, juga dikatakan berminat dengan khidmat pemain berusia 27 tahun itu.

Laporan mendedahkan PSG telah menolak tawaran yang dikemukakan Barca dan Madrid tatkala peminat di Paris membentangkan kain rentang mengkritik Neymar ketika perlawanan pertama musim ini menentang Nimes, Ahad lalu.

Bagi Valverde yang telah mengemudi Barca meraih kejuaraan liga selama dua tahun berturut-turut, dia tidak mahu spekulasi perpindahan itu menjadi gangguan untuk menghadapi musim baru.

"Saya tidak fikirkan perkara ini dan fokus mengendalikan pasukan. Saya sudah cukup memikirkan aksi seterusnya berbanding soal pemain daripada pasukan lain," katanya.

"Kami perlu menghormati pemain yang beraksi buat kelab lain. Dia milik PSG ketika ini dan tiada kenyataan yang boleh saya keluarkan.

"Saya mempunyai skuad untuk dipertimbangkan dan saya fikirkan tentang mereka untuk aksi Ahad ini. Apa yang berlaku selepas itu adalah pada masa depan.

"Saya sangat gembira dengan pasukan dan tiada sebab untuk saya bercakap mengenai pemain daripada pasukan lain.

"Saya seorang jurulatih, tugas saya perlu menyesuaikan pemain yang dimiliki. Dalam kelab seperti ini, sentiasa wujud pendapat yang berbeza."