Neymar mahu tinggalkan PSG, namun Barca tidak mahukannya

Oleh Staff Writer 6 Julai 2019 16971
Neymar mahu tinggalkan PSG, namun Barca tidak mahukannya
Barcelona terus dikaitkan dengan Neymar, namun menegaskan tiada keperluan untuk mengambil semula penyerang itu memandangkan Paris Saint-Germain (PSG) tidak mahu melepaskannya walaupun dia mahu meninggalkan pasukan itu.

Selepas dua tahun di Parc des Princes, Neymar kelihatan tidak dapat menyesuaikan diri di Paris dan dilaporkan berkeinginan untuk pulang ke Camp Nou.

Pemain berusia 27 tahun itu memerlukan PSG untuk mengeluarkan belanja besar bagi mendapatkannya dengan rekod perpindahan termahal dunia sekitar €222 juta (RM1.03 bilion) daripada Barca.

PSG mengambil pemain itu bagi meningkatkan peluang mereka meraih kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah, juga untuk mengembangkan pengaruh kelab itu di peringkat antarabangsa.

Kepulangan ke Barca merupakan perkara terbaik buat Neymar jika PSG melepaskannya, namun tiada sebarang petanda bahawa gergasi Perancis itu akan mengubah pendirian.

Bercakap mengenai perkara itu, Presiden Barca, Josep Maria Bartomeu, berkata: "Kami tahu Neymar mahu meninggalkan PSG tetapi kami juga tahu PSG tidak mahu melepaskannya, jadi tiada keperluan untuk menandatanganinya."

Ketika ditanya lebih lanjut sama ada Barca mahukan khidmat Neymar, beliau menambah: "Saya tidak mahu bercakap mengenai pemain pasukan lain. Kami mempunyai penghormatan maksimum sebagai satu institusi. Tiada apa yang dapat kami lakukan."

Masih terlalu awal untuk mengatakan Barca tidak berminat untuk mendapatkan Neymar, namun itulah yang boleh dijelaskan Bartomeu buat masa ini.

Beliau menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya pemergian Naib Presiden, Jordi Mestre, minggu ini berkaitan dengan spekulasi Neymar.

Bartomeu berkata: "Pemergian Jordi Mestre tiada kaitan dengan Neymar. Adalah normal dalam lembaga pengarah, dengan ramai orang, untuk terdapat perselisihan dalam perkara-perkara berbeza.
 
"Dalam kes ini, terdapat perselisihan mengenai sukan ini, jadi Jordi Mestre, disebabkan isu ini dan banyak perkara lain, memutuskan untuk meninggalkan jawatannya.

"Saya katakannya sebelum ini, dia kawan yang baik dan saya berterima kasih kepadanya untuk sepanjang sembilan tahun ini. Saya amat-amat berterima kasih di atas kerja-kerja yang telah dilakukannya," katanya.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen