Neymar cuba membuktikan sesuatu sebelum spekulasi perpindahan seterusnya kembali hangat diperkatakan apabila mengatakan bahawa dia "gembira dan selesa" selain berikrar akan mengerah segala kudrat buat Paris Saint-Germain (PSG).

Penyerang Brazil itu secara terbuka menyuarakan hajatnya mahu keluar dari Parc des Princes selepas dua tahun menyertai juara Perancis berkenaan dengan mengatakan mereka tidak lagi sehaluan.

Penyokong PSG mengejek Neymar ketika dia kembali beraksi musim ini, namun dia telah membalasnya dengan menjaringkan empat gol dalam lima penampilan Ligue 1.

Dalam sidang akhbar sempena pertemuan Brazil dengan Senegal malam ini untuk kemunculan antarabangsanya yang ke-100, pemain berusia 27 tahun itu memberitahu pemberita: "Semua orang tahu apa yang berlaku dalam pasaran musim panas yang lalu, iaitu keinginan saya untuk berpindah.

"Hari ini, saya berasa gembira dan selesa dengan kelab ini, bukan hanya dengan pasukan kebangsaan sahaja. Saya memulakan musim ini dengan begitu baik sekali.

"Saya akan mempertahankan kelab dengan segala kudrat, saya akan memberikan 100 peratus usaha untuk mencapai kejayaan besar.

"Ia satu musim panas yang panjang buat saya. Saya tahu bahawa saya perlu mempersiapkan diri untuk menghadapi semua keadaan demi mengharungi musim yang baik. Syukur, segalanya bermula dengan baik dan saya harap ia kekal seperti itu."

Dia ditimpa malang apabila tersisih tiga bulan pada penghujung musim lalu akibat kecederaan kaki, masalah serupa yang dialaminya dalam kempen sebelumnya.

Kecederaan itu mengehadkan aksinya kepada 20 penampilan dalam musim pertamanya di Perancis dan hanya 17 kali dalam musim keduanya, justeru Neymar menyasarkan untuk berada dalam keadaan lebih sihat dan membawa lebih banyak manfaat kepada barisan kendalian Thomas Tuchel itu musim ini.

"Saya terpinggir lebih tiga bulan ekoran menjalani rawatan kecederaan dalam tempoh dua tahun yang lalu," katanya. "Perkara ini boleh menimpa mana-mana atlet.

"Tetapi jika anda melihat statistik perlawanan dan angka, anda akan dapat lihat bahawa saya tidak pernah berhenti beraksi. Sayangnya dalam kehidupan sebagai seorang atlet, perkara seperti ini boleh berlaku. Anda perlu sentiasa positif dan bersiap sedia untuk melaluinya.

"Harapan saya untuk musim ini adalah untuk kekal cergas sambil berharap tiada perkara buruk yang akan berlaku."