Neymar mengecam cara pengurusan Paris Saint-Germain (PSG) terhadap kecederaan rusuk yang dihadapi selepas kembali memperkuatkan pasukannya dalam Liga Juara-Juara Eropah.

Selepas terlepas empat perlawanan, Neymar kembali beraksi dan menjaringkan gol buat PSG tetapi pasukannya tewas 2-1 di tangan Borussia Dortmund dalam aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara.

Neymar mengalami kecederaan rusuk ketika menentang Montpellier, 1 Februari lalu dan bintang Brazil itu tidak pasti akan menyertai kunjungan ke Dortmund.

Namun, Neymar -- yang menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-75 sebelum wira Dortmund, Erling Haaland, meledakkan gol kedua -- jelas tidak gembira selepas perlawanan.

"Sukar selepas tidak beraksi dalam empat perlawanan. Bukan pilihan saya untuk tidak beraksi tetapi ia keputusan kelab," katanya.

"Kelab membuat keputusan bersama pihak perubatan. Saya rasa bagus dan mahu bermain.

"Kelab rasa takut dan saya terpaksa menanggungnya."


Musim lalu, Neymar melalui kempen yang dipalit dengan episod kecederaan tatkala dia dikatakan cuba untuk kembali ke Barcelona selepas meninggalkan Camp Nou menerusi yuran perpindahan berjumlah EUR222 juta (RM995 juta) untuk ke Paris.

Pemain berusia 28 tahun itu telah menyumbat 13 gol dalam 14 penampilan Ligue 1 musim ini dan menghasilkan 16 jaringan bagi semua kejohanan.