Neymar turut tersenarai dalam skuad Paris Saint-Germain (PSG) untuk siri jelajah China walaupun masa depannya di kelab itu dalam keraguan.

Pemain Brazil berkenaan akan menyertai skuad itu dalam kunjungan ke Asia untuk menghadapi tiga perlawanan ujian tatkala dia hampir pulih daripada kecederaan kaki dan pergelangan kaki.

Barcelona dipercayai sedang mempertimbangkan untuk memancing semula pemain berusia 27 tahun itu ke Camp Nou, dengan Neymar dilaporkan mendesak untuk melengkapkan perjanjian itu.

Minggu lalu, pengurus PSG, Thomas Tuchel, mengakui keinginan pemain Brazil itu untuk meninggalkan PSG sebelum Copa America 2019.

Neymar terlepas kejohanan itu ekoran kecederaan tetapi masalah ligamen pergelangan kaki dan metatarsalnya yang patah, Januari lalu, hampir pulih untuk membolehkannya menyertai rombongan 33 pemain itu.

Satu kenyataan yang dikeluarkan PSG berbunyi: "Mengenai tahap pemulihan buku lali kanannya, program latihan fizikal harian akan diteruskan dan dia akan melengkapkan proses itu selain terbabit dengan skuad yang akan ke China.

"Pemeriksaan ke atas tahap kecederaannya menunjukkan kemajuan yang normal."

Neymar tidak tampil dalam dua aksi persahabatan di Jerman, baru-baru ini.

Spekulasi mengaitkannya kembali ke Barca reda apabila juara LaLiga berkenaan menandatangani Antoine Griezmann daripada Atletico Madrid dengan yuran €120 juta (RM550.9j).

Real Madrid, yang cuba mencari pasukan baru buat Gareth Bale, juga menjadi antara destinasi kemungkinannya.

Kunjungan PSG ke China melibatkan aksi persahabatan dengan kelab Serie A, Inter, dan wakil Liga-A, Sydney FC.

Mereka akan kekal di negara itu sebelum menghadapi seteru Ligue 1, Rennes, untuk perebutan Kejohanan Trophee des Champions pada 3 Ogos ini.

Pemenang Copa America 2019, Marquinhos dan Thiago Silva, serta dua tonggak Argentina, Leandro Paredes dan Angel Di Maria, termasuk Eric Maxim Choupo-Moting yang terlibat dalam Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2019, masing-masing diberi kebenaran untuk melaporkan diri minggu depan.