Neymar membuatkan hubungannya dengan Paris Saint-Germain (PSG) bertambah tegang apabila menyatakan kebangkitan dalam Liga Juara-Juara (UCL) 2016 ke atas skuad yang berpangkalan di Paris itu sebagai salah satu kenangan terindahnya dalam bola sepak.

Bintang Brazil itu cuba membangkitkan kemarahan majikannya di PSG tatkala dia berusaha membuka langkah untuk kembali ke Barca, apatah lagi Pengarah Sukan, Leonardo, mengesahkan dia boleh meninggalkan pasukan sekiranya ada kelab yang mampu memenuhi permintaan mereka.

Neymar menyertai PSG daripada Barca dengan yuran perpindahan rekod dunia berniai €222 juta (RM1 bilion) pada Ogos 2017, lima bulan selepas dia memainkan peranan penting dalam penyingkiran wakil Perancis itu daripada pusingan 16 UCL.

PSG memenangi pertemuan pertama 4-0 tetapi Barca mengejutkan mereka dengan mencipta kemenangan 6-1 di Camp Nou apabila tiga gol diledakkan selepas minit ke-88 -- termasuk dua jaringan Neymar -- untuk salah satu kebangkitan gemilang dalam sejarah UCL.

Ditemui dalam Majlis Red Bull Neymar Jr's Five, penyerang itu sekali lagi mengundang kemarahan penyokong PSG dengan menganggap ia salah satu detik terbaiknya dalam bola sepak.

Bercakap kepada Oh My Goal, Neymar berkata: "Memori terbaik saya sebagai pemain bola sepak? Terdapat dua detik. Pertama, ketika kami memenangi Sukan Olimpik bersama Brazil.

"Kedua, kebangkitan ke atas PSG. Apa yang kami rasakan ketika kami menjaringkan gol keenam... ia satu perasaan yang tidak pernah saya alami.

"Apabila kami menang ke atas PSG sebagai Barca, ia benar-benar membuatkan kami semua menggila selepas itu. Saya percaya ia adalah perasaan terbaik untuk kita semua."