Pemain muda Liverpool dan England, Joe Gomez, percaya sukar untuk memilih siapa yang terbaik di antara Neymar dan Mohamed Salah.

Pemain sayap Mesir, Salah, menyinar di Liverpool musim ini dengan mencatat 36 gol dalam semua pertandingan selepas tiba dari Roma menerusi yuran £36.9 juta (RM204 juta) -- sebahagian kecil jumlah €222 juta (RM1 bilion) yang digunakan Paris Saint-Germain (PSG) untuk membawa masuk Neymar dari Barcelona.

Gomez mengharungi tugas sukar mengawal Neymar ketika memulakan perlawanan England pertamanya pada November lalu apabila The Three Lions dan Brazil terikat 0-0 tetapi pemain berusia 20 tahun itu menegaskan latihan setiap hari bersama Salah adalah satu pembelajaran.

"Saya tidak pasti siapa yang terbaik! Sukar untuk menilai berdasarkan satu perlawanan menentang Neymar," kata Gomez kepada wartawan.

"Kedua-duanya adalah pemain luar biasa dan saya gembira dapat bermain menentang bakat seperti ini. Kedua-duanya mempunyai bakat individu yang hebat."

Gomez jelas akan kekal bersama skuad bimbingan Gareth Southgate itu untuk perlawanan persahabatan menentang Itali di Wembley, Rabu ini, walaupun dipapah keluar akibat mendapat kecederaan buku lali ketika kemenangan 1-0 England ke atas Belanda.