Ruben Neves tidak fikir Cristiano Ronaldo berdepan masalah untuk menyinar buat skuad Portugal meskipun melalui minggu yang sukar di peringkat kelab bersama Juventus.

Ronaldo, 34, digantikan dalam dua aksi terakhir Juve sebelum tempoh rehat antarabangsa dan dilaporkan meninggalkan stadium sebelum kemenangan 1-0 ke atas AC Milan dicipta, Ahad lalu.

Paulo Dybala masuk menggantikan penggempur Portugal itu sewaktu menentang The Rossoneri dan menjaringkan gol kemenangan sambil Ronaldo dilihat berang selepas dibawa keluar dan terus menuju ke terowong pemain.

Pengendali Juve, Maurizio Sarri, mengetepikan Ronaldo akibat kesan lebam di bahagian lutut walaupun penyerang itu tetap menerima kritikan di atas tindakannya itu.

Bercakap menjelang aksi kelayakan Euro 2020 menentang Lithuania, Neves berkata: "Ronaldo dalam keadaan baik, melalui sesi latihan dengan bagus dan amat bermotivasi untuk perlawanan itu.

"Dia sudah bersedia untuk perlawanan ini dan saya tidak faham apa yang diperkatakan oleh orang ramai.

"Dia mengharungi sesi latihan dengan baik dan seperti saya katakan, kami menjangkakan dapat menyaksikan Ronaldo yang kami kenali dalam aksi esok."

Pemain tengah Wolverhampton Wanderers, Neves, meneruskan persembahan cemerlang musim ini selepas mencuri perhatian dalam kempen 2018-19 Liga Perdana Inggeris tetapi dia tampak sukar menembusi kesebelasan utama Portugal.

Namun, dia yakin tetap telah tampil secara berkesan buat The Selecao, sama seperti di Wolves.

"Tidak. Kami mempunyai perlawanan dengan Wolves. Jika dibandingkan perlawanan dan jaringan untuk Wolves dan Portugal, tidak banyak beza.

"Jadi, saya fokus untuk membantu pasukan kebangsaan Portugal tanpa perlu berkata apa-apa mengenai perkara ini."