Joachim Low menegaskan Manuel Neuer hanya akan menyertai Piala Dunia Russia sebagai penjaga gol nombor satu Jerman.

Tonggak Bayern Munich itu diketepikan daripada perlawanan kompetitif sejak ditimpa kecederaan kaki jangka panjang pada September lalu.

Dia sedang berusaha mengembalikan tahap kecergasan dalam perlawanan kompetitif pra-Piala Dunia bulan depan, namun menghadapi tekanan untuk mengekalkan posisi berkenaan berbanding pemain Barcelona, ​​Marc-Andre ter Stegen.

Low, bagaimanapun, menyatakan Neuer adalah pemain utamanya dan pemain berusia 32 tahun itu akan bersedia menghadapi Mexico dalam perlawanan sulung Kumpulan F pada 17 Jun ini.

"Ya, saya fikir begitu. Jika dia bergerak bersama kami, dia pastinya akan bermain," kata Low dalam satu temubual dengan Sportschau.

Kehadiran Kevin Trapp dari Paris Saint-Germain (PSG) dan Bernd Leno dari Bayer Leverkusen dalam skuad awal 27 pemain memberi ruang untuk Low melakukan percaturan berbeza sekiranya kelibat Neuer gagal meyakinkannya.

Bagaimanapun, Ter Stegen menyediakan alternatif paling menarik dan Low tidak akan teragak-agak untuk mempertahankan pemain berusia 26 tahun berkenaan.

"Saya tidak ragu-ragu untuk menggunakan Marc-Andre ter Stegen sebagai pemain nombor satu," kata jurulatih Die Mannschaft itu.

Sementara itu, pertahanan tengah, Jerome Boateng, turun menjalani latihan berasingan dalam usahanya untuk mengatasi masalah hamstring yang dideritai sejak penghujung bulan lalu.