Manuel Neuer mencerahkan peluang untuk kembali membarisi skuad Bayern Munich dalam perlawanan Bundesliga menentang Augsburg, Sabtu ini, selepas pulih daripada kecederaan ibu jari tangan, maklum pengurusnya, Niko Kovac.

Penjaga gol berkenaan ditimpa kecederaan itu ketika latihan dan terlepas tiga perlawanan sehingga menerbitkan kebimbangan bahawa masalah itu mungkin menyebabkannya terlepas aksi pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) dengan Liverpool, Rabu depan.

Bagaimanapun, dia hampir pasti tidak terlepas rombongan Bayern ke Anfield selepas Kovac yakin Neuer dapat diturunkan menentang Augsburg.

"Manuel tidak lagi mengadu mengenai apa-apa masalah kecergasan, jadi dia akan menjadi salah seorang pilihan pemain untuk perlawanan esok (awal pagi Sabtu)," kata Kovac.

"Manuel merupakan penjaga gol yang bercita-cita tinggi dan bagi mereka yang telah memenangi begitu banyak gelaran, mereka haruslah memiliki cita-cita yang istimewa. Dan apabila anda sudah mencapai tahap itu, anda harus melakukannya dengan lebih baik daripada yang lain.

"Situasi ini bukan asing baginya. Apabila tidak dapat beraksi, dia perlu membuat keputusan sendiri. Pemainlah yang akan menentukan situasi mereka dan dalam kes ini, Manuel sudah bersedia."

Sven Ulreich menjadi taruhan di depan pintu gol dalam tiga perlawanan terakhir membabitkan Bayern seperti yang dilakukannya musim lalu ketika Neuer mengalami kaki patah.

Walaupun Neuer berkemungkinan akan kembali beraksi dalam beberapa permainan akan datang, Kovac menggesa Ulreich untuk terus bersedia menghadapi sebarang situasi.

"Jika anda adalah penjaga gol kedua Bayern, maka ia agak mudah difahami: anda perlu bersedia untuk sebarang keadaan," kata Kovac. "Itulah tugas penjaga gol kedua.

"Sven perlu sentiasa bersiap sedia. Dia perlu perlu berada di tahap terbaiknya dan dia telah membuktikannya ketika kami memerlukannya."

Berdepan pasukan bermasalah, Augsburg, Bayern tidak bercadang menurunkan barisan keduanya kerana ingin memberikan saingan hebat dalam Bundesliga, khususnya selepas peneraju, Borussia Dortmund, keciciran mata dalam dua perlawanan terakhir mereka.

"Kami tiada alasan untuk merehatkan sesiapapun di Augsburg," katanya. "Kami mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat persiapan.

"Kami tidak mahu memandang rendah perlawanan ini kerana kami ingin terus berjuang memburu gelaran Bundesliga."