Penjaga gol Barcelona, Neto, mungkin terpaksa berehat panjang selepas terseliuh buku lali ketika pasukannya mencatatkan kemenangan tipis ke atas Ibiza dalam Copa del Rey awal pagi tadi.

Neto mengalami kecederaan itu selepas berlanggar dengan rakan sepasukan, Clement Lenglet, dan pemain lawan pada minit ke-50 dalam kemenangan 2-1 itu.

Pemain Brazil berusia 30 tahun berkenaan masih dapat menamatkan permainan tetapi perlu menjalani pemeriksaan untuk menentukan tahap kecederaannya seperti yang disahkan Barca dalam satu kenyataan.

Neto melakukan penampilan keempatnya buat kelab itu sejak menyertainya daripada seteru LaLiga, Valencia, awal musim ini.

Barca memerlukan dua gol lewat permainan daripada Antoine Griezmann untuk mengelakkan aib kepada lawan daripada liga divisyen tiga itu, yang mendahului menerusi percubaan terbias Josep Caballe pada minit kesembilan.

Penjaga gol utama, Marc-Andre ter Stegen, hampir pasti akan kembali beraksi dalam kunjungan perlawanan LaLiga di Valencia hujung minggu ini manakala pemain berusia 20 tahun, Inaki Pena, akan bertindak sebagai penjaga gol simpanan.



Editor: Muzaffar Musa