Pengendali Lyon, Bruno Genesio, berkata Tanguy Ndombele "mampu menjadi pengganti Paul Pogba", yang kini menjadi sasaran gergasi Serie A, Juventus.

Ndombele mempamerkan aksi cemerlang bersama Lyon sejak 2017, terutama sekali dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL).

Pemain berusia 22 tahun itu menerima panggilan beraksi bersama Les Bleus, Oktober lalu, dan Genesio percaya Ndombele berpeluang untuk mengikut jejak langkah yang sama seperti Pogba yang menjadi bintang di Juve jika perpindahan ke Turin itu berjaya dimeterai.

"Dia pemain yang memiliki kekuatan fizikal dan berkemahiran teknikal yang tinggi," kata Genesio.

"Dengan sentuhan pertama yang kemas, Ndombele mampu melakukan hantaran kepada tiga pemain dan apabila dia sudah mula bermain dengan baik, sukar untuk menghentikannya.

"Hantaran dan kawalannya yang sangat baik, menyaksikan dia mampu menjadi pengganti Pogba.

"Ndombele mampu menjadi pemain tengah untuk kelab utama di Eropah dan saya tidak terkejut melihatnya bersama Juve pada masa akan datang. Tetapi sebagai jurulatih, saya mahu melihatnya beraksi bersama Lyon untuk beberapa musim lagi."

Ndombele telah melakukan 33 penampilan untuk Lyon setakat ini tetapi hanya menjaringkan dua gol -- kedua-duanya hadir menerusi aksi UCL berdepan Hoffenheim -- dan Genesio percaya pemain muda itu mampu menjadi lebih tajam ketika menyerang apabila dia mencapai tahap terbaik.

"Saya menjangkakan Ndombele mampu menjaringkan lebih banyak gol selepas ini. Dia mampu menjaringkan lapan hingga 10 gol semusim."