Pemain tengah berdarah campuran, Natxo Insa, mengharapkan kelibat pemain seperti mereka tidak dipandang serong kerana hasrat utamanya adalah ingin membantu skuad negara.

Beberapa pemain berdarah campuran seperti Kiko Insa, Darren Lok, Matthew Davies, Levere Corbin Ong dan Natxo merupakan pendekatan baru yang dibawa skuad negara sejak beberapa tahun lalu.

Objektifnya mudah, iaitu untuk membentuk sebuah pasukan yang mantap selepas Malaysia ketinggalan terlalu jauh jika dibandingkan dengan kuasa besar Asia seperti Jepun, Korea Selatan dan Iran.

Bagaimanapun, senario itu membuatkan ada sesetengah pihak menganggap transformasi yang dilalui skuad negara seolah-olah mengurangkan rencah asli pasukan kebangsaan, namun hal itu bukan masalah utama jika pemain tempatan melihat perkembangan itu sebagai satu persaingan sihat.

"Senarai menunjukkan terdapat 25 pemain dan dalam bola sepak, setiap antara mereka perlu mempamerkan komitmen 100 peratus.

"Jika mereka melakukannya, ia akan menaikkan tahap sesebuah pasukan. Kami di sini ibarat sebuah keluarga dan berada di sini adalah untuk membantu skuad negara," kata Natxo lagi.

Aksi persahabatan bertemu Mongolia pada Khamis ini merupakan aksi pertama yang menampilkan pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menyarung jersi Malaysia, sekaligus membuatkan penyokong Malaysia menantikan aksinya bersama empat lagi pemain terbabit dalam memberikan suntikan pembaharuan ke dalam skuad kebangsaan.

"Saya sangat gembira kerana ini adalah kali pertama saya bersama pasukan kebangsaan. Pemain-pemain memiliki kualiti yang bagus dan saya rasa kami mampu membentuk satu pasukan yang baik," tambahnya.