POLAND 1 SENEGAL 2

Senegal melakar kemenangan pertama buat wakil Afrika dalam Piala Dunia 2018 menerusi kemenangan 2-1 ke atas Poland di Moscow, awal hari ini , dengan kejayaan manis itu terhasil menerusi dua gol yang sepatutnya boleh dielakkan.


Pada minit ke-37 dalam perlawanan yang berlangsung seimbang, Sadio Mane tenang untuk mencipta ruang buat Idrissa Gueye yang melepaskan rembatan kencang ke arah pintu gol lawan, dan Thiago Cionek berada di kedudukan tepat untuk memanfaatkan bola muntah itu untuk menghukum Poland.

Jaringan kedua Senegal menyusul pada minit ke-60. Kesilapan Grzegorz Krychowiak yang membuat hantaran lambung ke belakang, gagal dihidu Jan Bednarek selaku pertahanan terakhir.

Malangnya, mereka tidak menyedari M'Baye Niang kembali dibenarkan memasuki padang oleh pengadil selepas menerima rawatan di luar. Dia pantas menghidu peluang tersebut lalu meluru ke arah Bednarik dan berhasil merampas bola.

Penjaga gol, Wojciech Szczesney, cuba menyelamatkan keadaan dengan meninggalkan posisinya sejauh 40 meter. Namun, ia sudah terlambat apabila Niang sempat melarikan bola dan memecut ke arah pintu gol yang sudah pun terbuka luas.

Poland cuba bangkit dan berhasil merapatkan jurang menerusi tandukan Krychowiak ketika permainan berbaki tiga minit, namun ia sudah terlambat untuk mereka mengelak kekalahan.