Napoli mencatat rekod baru kelab dengan mencatat sembilan kemenangan liga berturut-turut dalam satu-satu musim apabila mereka kekal berada di puncak Serie A awal pagi tadi.

Kemenangan 1-0 ke atas pesaing setempat, Torino, pada awalnya membawa Juventus mengatasi Napoli yang mengalami kekalahan kepada RB Leipzig dalam Liga Europa pada Jumaat lalu.

Tetapi skuad Maurizio Sarri berjaya merampas kedudukan teratas dengan kemenangan 1-0 berdepan SPAL di tempat sendiri hasil gol kemenangan Allan, dengan pemain tengah itu menjaringkan gol keempatnya musim ini.

Kapten, Marek Hamsik, berasakan dia telah memastikan mata menerusi tandukan pada babak kedua tetapi penyudah itu tidak disahkan selepas dirujuk video bantuan pengadil (VAR).

Bagaimanapun, kemenangan kesembilan berturut-turut dalam Serie A menetapkan rekod baru kelab untuk Napoli yang berkelebihan satu mata ke atas Juventus berikutan kemenangan mereka itu.

Purata mata Napoli dalam setiap perlawanan musim ini kini berada pada 2.64, dengan hanya peneraju Liga Perdana Inggeris, Manchester City, mampu mencatat mata lebih baik daripada angka itu di Eropah.