Mutu kemudi pasukan remaja Romania 

Oleh Staff Writer 16 Januari 2020 397
Mutu kemudi pasukan remaja Romania 
Adrian Mutu diberi peluang untuk memulakan kariernya dalam bidang pengurusan bersama skuad B-21 Romania -- pasukan yang dibintanginya sebelum muncul sebagai penyerang tersohor di dunia.

Semalam, Persekutuan Bolasepak Romania (FRF) mengesahkan Mutu akan menggalas tanggungjawab itu setelah berunding dengan presiden, Razvan Burleanu. 

Ini bermakna bekas pemain Juventus, Fiorentina dan Chelsea itu akan mengambil alih sebuah pasukan yang di ambang kelayakan ke final Euro 2021.

"Saya berasa bangga, ia adalah satu tanggungjawab yang besar," katanya seperti yang dipetik laman sesawang FRF.

Pasukan B-21 Romania itu mara ke separuh akhir Euro 2019 yang menyaksikan mereka menewaskan Croatia dan England, termasuk seri dengan Perancis sebelum terkandas kepada Jerman dalam separuh akhir.

Dia akan mengambil alih jawatan daripada Mirel Radoi, yang November lalu diberi penghargaan mengendalikan pasukan senior kebangsaan. 

Mutu berkata: "Saya akan mengisi peranan Mirel Radoi yang telah melakar sejarah bersama pasukan B-21 dan ia menjadi dorongan buat saya. Ini adalah generasi pemain baru yang berbakat, kempen ini bermula dengan baik. Objektifnya adalah untuk layak ke Euro."

Mutu sebelum ini mempunyai tempoh singkat sebagai pengurus kelab Romania, Voluntari, dan turut sempat melatih pasukan simpanan Al Wahda di Abu Dhabi.

Skuad B-21 Romania kini menduduki tempat kedua Kumpulan H di belakang pendahulu, Denmark.



Editor: Shaiful Shamsudin 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen