BARCELONA 4 CELTA VIGO 1

Ernesto Valverde mengakui Barcelona tidak dapat mengelak untuk bergantung kepada Lionel Messi selepas penyerang sensasi itu menjaringkan hatrik ketika menewaskan Celta Vigo 4-1 dalam perlawanan LaLiga di Camp Nou awal pagi tadi.


Hatrik Messi itu turut menamatkan minggu sukar Barca yang sebelum itu tewas 1-3 kepada Levante dalam liga dan seri tanpa jaringan dengan Slavia Prague dalam Liga Juara-Juara Eropah.

Barca tidak bermula baik ketika menentang Celta tetapi Messi, yang menjaringkan enam gol daripada enam perlawanan terakhir, menghasilkan satu gol daripada sepakan penalti dan dua daripada sepakan percuma yang mendorong kepada kemenangan pasukannya.

Bercakap kepada wartawan selepas tamat perlawanan mengenai kepentingan penyerang kebangsaan Argentina itu, Valverde berkata: "Adalah mustahil untuk tidak bergantung kepada Messi.

"Itulah caranya. Dia menyemarakkan segala-galanya.

"Hari ini, kami beraksi lancar dan dia menjaringkan tiga gol.

"Ia kelebihan yang kami miliki dan ditakuti pihak lawan dan ia sesuatu yang baik.

"Apabila kami menang, ia kemenangan bersama.

"Ada pemain lain yang beraksi di samping Leo.

"Semua pemain menjalankan tugas mereka," katanya.

Valverde mengakui kekalahan pada Levante mencipta suasana yang tidak menentu di Camp Nou, dengan berkata: "Apabila anda tidak menang, terdapat ketidakpastian yang mengelilingi persekitaran anda.

"Ia sesuatu yang baik kerana apabila ia berlaku, anda perlu bertindak balas.

"Kerana apabila anda tidak biasa dengan keadaan itu, ia akan memaksa anda untuk meningkat," tambahnya.

Valverde berharap waktu rehat antarabangsa kali ini akan memberikan manfaat buat pemainnya untuk menghadapi jadual perlawanan yang lebih mencabar selepas ini.

Skuad Blaugrana itu kini di puncak LaLiga dengan perbezaan jaringan selepas 12 perlawanan dan akan bertandang ke laman Leganes pada 23 November ini sebelum menantikan kunjungan Borussia Dortmund dalam Liga Juara-Juara Eropah.

"Kami akan memanfaatkan peluang itu untuk berehat.

"Sesetengah pemain akan meninggalkan kami (untuk tugasan antarabangsa) dan yang lain akan berada di sini.

"Tetapi selepas waktu rehat itu, akan tiba perlawanan yang lebih sukar dan kami akan beraksi dengan lebih kerap," katanya lagi.