Shkodran Mustafi mengharapkan agar Alexis Sanchez akan terus kekal di Arsenal, namun mengakui dia tidak tahu apakah keputusan rakan sepasukannya itu.

Sanchez telah dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester City, dengan Bayern Munich turut dilabel antara destinasi seterusnya buat pemain itu.

Mustafi berdepan penyerang Chile itu ketika Jerman melakar keputusan seri 1-1 dalam saingan Piala Konfederasi, Khamis lalu.

Dilaporkan Arsenal telah pun menyediakan kontrak baru buat pemain berusia 28 tahun itu, bagaimanapun Mustafi mengakui dia dan rakan sepasukan lain turut tidak pasti apakah langkah seterusnya buat pemain itu.

"Saya juga tidak tahu. Pemain lain tidak mempunyai kuasa untuk menentukan masa depannya," Mustafi memberitahu Omnisport selepas Jerman mengesahkan slot ke separuh akhir dengan kemenangan 3-1 ke atas Cameroon di Sochi, malam tadi.

"Saya juga tidak melibatkan diri dalam perbincangan itu. Saya harap dia kekal kerana dia pemain yang hebat."

Video Bantuan Pengadil (VAR) sekali lagi menjadi tumpuan di Stadium Fisht dengan pertahanan Cameroon, Ernest Mabouka, menerima layangan kad merah selepas melakukan terjahan terhadap Emre Can walaupun pada awalnya, pengadil melakukan kesilapan dengan menghukum Sebastien Siani sebelum rujukan video menunjukkan siapakah dalang sebenar.

Mustafi -- yang tidak diturunkan kali -- mengakui dia turut keliru dengan apa yang berlaku.

"Saya tidak tahu apa yang berlaku. Saya enggan terlibat dengan apa yang berlaku kerana saya tidak nampak apa yang pengadil saksikan," jelasnya.

"Saya tidak nampak apa yang berlaku, jadi sukar untuk saya membuat sebarang kenyataan."