Gerard Pique mengakui musim Barcelona dirasakan pahit dan manis selepas diakhiri dengan kekalahan mengejut 2-1 di tangan Valencia dalam aksi final Piala Raja Sepanyol, awal pagi tadi.

Skuad kendalian Marceno itu yang berkongsi catatan seri dengan juara LaLiga, Barca, musim ini mengejutkan lawan dan meraih pendahuluan awal 2-0 menerusi gol daripada Kevin Gameiro dan Rodrigo Moreno.

Pique juga mencipta aksi hebat mengeluarkan bola di atas garisan gol untuk menafikan usaha Gameiro dan walaupun Barca mempamer aksi garang dengan jaringan minit ke-73 oleh Lionel Messi dari jarak dekat, namun tetap tidak dapat membantu pasukan.

Walaupun mengesahkan kejuaraan liga kelapan dalam 11 tahun, kekalahan awal pagi tadi menyaksikan Barca masih terkesan dengan penyingkiran dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah susulan tunduk akibat kebangkitan Liverpool.

"Ia adalah tahun yang baik kerana kami memenangi liga tetapi beberapa minggu lalu, kami menjangkakan bakal meraih tahun lebih bagus," kata Pique.

"Kami melalui pahit manis musim ini kerana ia patut lebih baik."

Keputusan itu dilihat bakal menambah tekanan buat pengendali, Ernesto Valverde.

Pique menegaskan bekas pengurus Athletic Bilbao itu tetap menerima sokongan tetapi mengakui nasib Valverde bukan terletak di tangan pemain.

"Masa depan jurulatih tidak merisaukan kami. Kami perlu menjalankan analisis individu dan berkumpulan," tambah Pique.

"Kami telah katakan bahawa kami mahu pengurus meneruskan tugas kerana dia menjalankan tanggungjawab dengan baik tetapi ia bukan keputusan kami.

"Kami mempunyai musim panas yang panjang untuk mengenal pasti penambahbaikan yang boleh dilakukan."