Sevilla bakal melengkapkan perpindahan bintang Sampdoria, Luis Muriel, selepas bersetuju untuk menawarkan kontrak selama lima tahun dan bakal dimuktamadkan selepas melalui ujian kesihatan.

Perpindahan itu dipercayai bernilai EUR20 juta (RM98 juta), termasuk beberapa penambahan seperti klausa penjualan untuk masa akan datang.

Muriel telah menjaringkan 11 gol dalam saingan Serie A musim lepas -- menyamai musim terbaiknya ketika bersama Udinese dan turut mencipta lima bantuan jaringan dalam keseluruhan 31 penampilan.

Sebelum perpindahan itu diumumkan, Muriel turut dikaitkan dengan beberapa pasukan tempatan Itali seperti Lazio, AS Roma dan Inter Milan.

Sevilla dilihat sangat aktif ketika jendela perpindahan dibuka kali ini selepas mendapatkan Ever Banega, Jordan Amavi dan turut dalam fasa terakhir melengkapkan penghijrahan pemain tengah Tigres UANL, Guido Pizarro, ke Ramon Sanchez Pizjuan.

Muriel sebelum ini pernah beraksi dalam saingan LaLiga ketika dipinjamkan ke Granada pada musim 2010-11.