Ada hasrat besar yang tidak mampu diluahkan penyerang muda negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak, namun kunjungan kali kedua ke Jepun bagi menjalani ujian bersama kelab J2, Fujiano Okayama, selama seminggu menguntum harapan besar buat penyerang itu untuk berkelana di Jepun selepas ini.

Pelbagai spekulasi timbul sebaik nama pemain ini tidak lagi berada dalam barisan skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) II.

Ia keputusan yang diterima Hadi sebaik tamat saingan Sukan Asia lalu dan dalam masa sama tiada alasan jelas diberikan pihak pengurusan JDT.

Hadi tidak mahu terus mengenang nasib, sebaliknya mengharapkan tuah di Jepun lebih memihak kepadanya.

"Mungkin bukan rezeki saya. Namun, ia boleh didapati di mana-mana sahaja. Jika tidak di Malaysia, mungkin di Jepun. Kita tidak tahu apa yang berlaku pada masa akan datang.

"Jadi, saya harus buktikan kemampuan dan berikan aksi terbaik kali ini," katanya.

Keputusan daripada kunjungan kali pertama bersama Roasso Kumamoto masih belum diterima Hadi.

Namun, jemputan daripada Fujiano Okayama jauh lebih baik memandangkan pasukan itu kini berada di ranking kesembilan berbanding Roasso Kumamoto di tangga ke-16 saingan J2.

"Buat masa ini, saya bebas dan tidak terikat dengan mana-mana kelab. Jadi, ia menjadi peluang saya apabila pergi ke sana.

"Apa yang perlu dilakukan, saya harus terus berusaha kerana masih muda. Demi masa akan datang, saya harus terus meningkatkan prestasi," katanya.