Didier Deschamps berjenaka bahawa Frank Lampard perlu mempertimbangkan untuk menggunakan khidmat Olivier Giroud lebih kerap bersama Chelsea sebagai pertukaran selepas pengendali Perancis itu tidak menyenaraikan N'Golo Kante sebelum ini.

Kante dipanggil semula menyertai skuad Les Bleus itu semalam menjelang pertemuan dengan Iceland dan Turki selepas mengetepikan pemain tengah itu September lalu susulan kecederaan buku lali dan paha.

Deschamps mendedahkan Lampard telah berhubung dengannya selepas tidak memilih pemain berusia 28 tahun itu yang kembali beraksi selama 90 minit ketika berdepan Lille, Rabu lalu.

Bagaimanapun, pengendali pemenang Piala Dunia itu berkata bantuan itu dibalas, dengan memberitahu wartawan semalam: "Lampard meminta saya agar tidak memilih Kante.

"Jika ia begitu, saya akan menghubunginya semula dan memberitahu mungkin lebih bagus jika dia memberi waktu beraksi buat Giroud!"

Giroud merupakan penyerang utama pilihan Deschamps tetapi penggempur itu bergelut untuk mendapatkan tempat bersama kelab, dengan hanya beraksi 100 minit dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini susulan prestasi hebat Tammy Abraham.

Deschamps mengakui kekurangan masa beraksi Giroud bersama Chelsea akan memberi kesan kepadanya.

"Saya tidak mahu menafikan apa yang telah disumbangkan oleh Giroud kepada kami," katanya.

"Dia telah memberikan persembahan terbaik dan tidak dilupakan, dia penjaring gol ketiga terbanyak sepanjang zaman buat Perancis. Namun, saya harap apa yang dihadapi akan berubah."

"Selain keberkesanan kepada kami, rentak permainan juga penting. Dia telah melalui tempoh kurang beraksi tetapi kini tidak cukup untuk fizikalnya. Dia tidak boleh berada di tahap terbaik."

Seperti Kante, penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe, turut kembali ke dalam skuad Perancis selepas tidak disenaraikan dalam kemenangan ke atas Albania dan Andorra bulan lalu akibat kecederaan paha.

Mbappe beraksi dalam babak kedua dalam dua aksi terakhir bersama PSG selepas direhatkan lebih sebulan dan Deschamps tidak akan mempertaruhkan kecergasannya.

"Mbappe kembali daripada kecederaan, jadi ia sentiasa menggusarkannya," tambah Deschamps.

"Saya tidak akan mengambil risiko dengannya walaupun berdepan dua aksi penting.

"Dia telah beraksi bersama PSG minggu ini dan kami akan melihat keadaan fizikalnya. Dua tempoh 90 minit dalam masa tiga hari mungkin tidak berlaku."