Jose Mourinho tidak berpuas hati dengan masa rehat yang akan datang dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), dengan mengatakan ia datang "pada masa yang salah" untuk Tottenham.

Spurs akan berdepan Southampton dalam saingan Piala FA malam ini sebelum menerima kunjungan Manchester City, 2 Februari ini, kemudian berehat selama dua minggu selepas berdepan juara bertahan EPL itu.

Bagaimanapun, mereka akan kembali beraksi dengan kunjungan ke Aston Villa, 16 Februari ini, kemudian berdepan RB Leipzig dalam aksi pertama pusingan 16, Liga Juara-Juara (UCL) tiga hari kemudian di Stadium Tottenham Hotspur.

Situasi itu menyaksikan pengurus Spurs berkenaan tidak gembira dengan tempoh rehat tersebut.

"Itulah yang sebenarnya. Saya tidak gembira dengan tempoh rehat yang tiba pada waktu yang salah," katanya.

"Rehat itu seharusnya hadir sebelum saingan UCL, sebelum saingan itu kami tidak berehat.

"Kami akan berdepan Aston Villa pada Ahad, bertemu RB Leipzig dua hari berikutnya. Jadi, kami tidak kisah mengenai rehat itu, sejujurnya."

Tempoh rehat mereka dijangka dipendekkan jika aksi ulangan Piala FA diperlukan berdepan Southampton.

Bagaimanapun, Mourinho tidak bimbang dan berkata, "Jika kami berdepan Southampton dalam perlawanan kedua, bermakna kami masih lagi bersaing berbanding daripada tersingkir.

"Jika kami boleh memilih keputusan, semestinya Spurs mahukan kemenangan. Seri untuk terus bersaing. Beraksi dalam aksi timbal balik di laman sendiri jauh lebih baik daripada tewas."



Editor: Ammar Hakim