Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, terkejut dengan corak permainan England ketika bertemu Colombia sambil mengkritik Harry Maguire yang dilihat sengaja merebahkan badan.

England melangkah ke pusingan suku akhir Piala Dunia 2018 selepas memenangi penentuan sepakan penalti 4-3 setelah permainan waktu sebenar berakhir dengan keputusan 1-1.

Bagaimanapun, sebanyak lapan kad kuning dilayangkan dalam perlawanan itu, sekali gus membuatkan Mourinho terkejut dengan pendekatan yang dipamerkan skuad bimbingan Gareth Southgate itu.

Pengendali dari Portugal itu turut mengkritik tindakan Maguire yang sengaja merebahkan diri untuk mendapatkan sepakan penalti daripada pengadil.

"Perkara negatif yang dapat saya lihat adalah terdapat aksi berlebihan oleh pemain-pemain," katanya.

"Saya terkejut melihat seorang bek tengah seperti Maguire melakukannya kerana kebiasaannya, dia seorang pemuda yang jujur tetapi kali ini, dia merebahkan diri di dalam kotak penalti serta meminta pengadil mengkaji Video Bantuan Pengadil (VAR).

"Setiap pasukan melakukannya, berlakon dan memberikan tekanan kepada pengadil.

"Perlawanan bola sepak telah kehilangan kualiti dan bagi saya, ia sesuatu yang negatif."

Colombia menerima enam daripada lapan kad kuning dalam aksi tersebut, termasuk satu yang diterima Wilmar Barrios selepas didapati menghantukkan kepala ke dada Jordan Henderson.