Jose Mourinho percaya Inter wajib memenangi Scudetto di bawah bimbingan Antonio Conte sambil bekas pengurus Manchester United itu mendedahkan bahawa beliau sedang belajar bahasa Jerman.

Inter antara pasukan pilihan untuk menidakkan juara Itali, Juventus, susulan pelantikan Conte selaku pengurus bagi musim 2019-20.

Nerazzurri telah mengikat Diego Godin, Nicolo Barella, Stefano Sensi dan Valentino Lazaro, sementara Conte terus bertekad untuk memancing Romelu Lukaku daripada United.

Mourinho menghabiskan masa selama dua tahun untuk meraih gelaran juara Serie A dan Liga Juara-Juara (UCL) bersama gergasi Itali itu dan memberitahu Gazzetta dello Sport: "Nerazzurri harus memenangi Serie A musim ini, saya yakin mereka akan berjaya melakukannya."

Inter menamatkan saingan musim lalu di kedudukan keempat ketika dikendalikan Luciano Spalletti dan 21 mata dipisahkan dengan juara, Juve.

Sementara itu, pengurus Portugis itu yang tidak menggalas sebarang peranan ketika ini, memberi bayangan akan beralih ke kancah Bundesliga.

Selepas dua setengah tahun di Old Trafford, Mourinho dipecat pada Disember lalu berikutan prestasi hambar selain laporan mengenai ketidakharmonian di bilik persalinan.

Mourinho sempat dikaitkan dengan beberapa jawatan sejak meninggalkan The Red Devils, termasuk daripada Benfica, Lyon dan yang terbaru, Newcastle United, dikatakan turut berminat.

Ditanya mengenai masa depannya, Mourinho berkata: "Saya benar-benar merindui bola sepak, saya merindui adrenalinanya, padang dan tugas saya. Bola sepak tetap bola sepak.

"Saya sedang mempelajari bahasa Jerman. Bundesliga? Saya sedang belajar bahasa Jerman kerana saya merindui bahasanya.

"Saya boleh bertutur dalam bahasa Inggeris, Sepanyol, Portugis, Perancis dan Itali. Namun, saya tidak mengecualikan apa-apa bahasa, termasuklah Jerman."