Pemain pertahanan Manchester United, Phil Jones, berkata dia hampir meninggalkan kelab itu semasa di bawah bimbingan Louis van Gaal, sebaliknya menghamburkan pujian terhadap peranan Jose Mourinho dalam membantu kariernya.

Dalam kempen musim lalu, Jones hanya diturunkan dalam kesebelasan utama sebanyak enam kali, bergelut untuk merebut tempat utama ekoran masalah kecederaan berulang dan sempat sangsi sama ada Old Trafford adalah tempat yang betul untuk meneruskan kariernya.

Pemain pertahanan itu menjadi nadi buat Mourinho apabila diturunkan dalam 12 perlawanan sejak November lalu.

Jones kini berasa kembali yakin sepertimana yang dipamerkannya ketika di bawah asuhan Sam Allardyce dan Alex Ferguson.

"Tidak syak lagi, saya pernah berasa sangsi dengan masa depan di sini," kata Jones kepada Manchester Evening News.

"Ia sentiasa berlegar di fikiran saya. Kalau anda tidak beraksi, ia menjelaskan segala-galanya.

"Apa sahaja alasannya, dia (Van Gaal) fikir saya perlu lebih cergas.

"Saya hanya memanaskan bangku simpanan dalam aksi final Piala FA di Wembley dan dalam dua bulan terakhir di bawah kendalian Van Gaal musim lalu, saya sudah cergas dan bersedia diturunkan.

"Tapi saya hanya dikerah untuk bermain dalam perlawanan pasukan simpanan.

"Tapi itulah bola sepak -- ada masanya sesetengah pemain menjadi pilihan, ada yang tidak.

"Saya fikir hanya tiga pengurus yang benar-benar mempercayai dan memahami saya sebagai pemain.

"Saya bukan mahu mengkritik pengurus lain tapi jurulatih yang dimaksudkan adalah Sam Allardyce, Sir Alex Ferguson dan sekarang, Jose Mourinho.

"Mereka memberi saya kepercayaan dan keyakinan.

"Saya sudah berjanji kepada diri sendiri sejak awal musim, sekiranya pengurus mempercayai dan memberi saya peluang, saya yakin mampu memberi aksi terbaik untuknya.

"Jose memberi saya peluang itu.

"Saya berharap untuk kekal cergas dan beraksi baik, saya perlu berada di Manchester United kerana tiada yang lebih bagus."