Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, memberikan ulasan singkat tentang bagaimana dia boleh menghasilkan sentuhan terbaik Paul Pogba.

Pogba bersedia untuk memulakan aksi Liga Juara-Juara (UCL) menentang Valencia awal pagi esok setelah disisihkan dalam perlawanan menentang Arsenal dan Fulham dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) selain dikeluarkan ketika seri 2-2 dengan Southampton.

Mourinho ditanya apakah yang perlu dilakukannya untuk menyerlahkan potensi sebenar pemenang Piala Dunia itu, namun dia tidak berpuas hati dengan persoalan yang diajukan.

"Saya tidak fikir soalan anda menjurus kepada apa yang saya mahu jawab atau dengar," katanya dalam sidang akhbar pra-perlawanan.

"Saya tidak menyukai soalan anda, anda boleh mengemukakan soalan dari arah yang berlainan. Saya tidak suka kecenderungan soalan anda ini."

Ketika ditanya apakah yang diharapkannya daripada Pogba di Mestalla, Mourinho menjawab: "Saya mahu dia bermain dan memberi impak yang baik dalam permainan serta dalam pasukan kerana ramai pemain yang mengalami kepenatan.

"Saya berharap pemain seperti Paul dan beberapa pemain lain lagi yang lazimnya berada dalam skuad utama boleh beraksi dengan lebih baik lagi berbanding pemain yang mengalami kepenatan, mereka boleh memberi impak yang baik dalam pasukan."

Tekanan terhadap Mourinho semakin reda dengan kemenangan 4-1 ke atas Fulham, Ahad lalu, sambil ejennya, Jorge Mendes, mengeluarkan kenyataan yang menegaskan kelab itu "sangat gembira" dengan kliennya itu.

Mourinho, bagaimanapun, mendakwa bahawa dia tidak mempunyai kaitan dengan kenyataan itu dengan berkata: "Saya tiada kaitan dengan kenyataan itu, ia bukan kenyataan saya. Saya tidak tahu ia akan dicetuskan dan saya tidak peduli. "

Mourinho turut menegaskan dia tidak mempunyai masalah dengan Romelu Lukaku yang bercakap secara terbuka tentang keperluannya untuk mengurangkan ototnya, yang menyebabkannya terpaksa berbincang dengan pengurusnya itu setelah kehilangan tempat dalam barisan utama.

"Romelu memberitahu kepada kamu tetapi saya tidak mendedahkannya kepada kamu," katanya. "Ia bukan masalah buat saya, dia bersikap jujur.

"Dia memberitahu anda mengenai kebenarannya, saya tiada masalah tentangnya tetapi itu adalah keputusan Romelu.

"Romelu bukanlah satu-satunya pemain yang saya jumpa.

"Apabila saya berasakan saya boleh memberi impak positif kepada pemain dan berasakan pemain bersikap terbuka mengenainya.

"Saya akan melakukannya apabila pemain memberi saya petanda bahawa mereka benar-benar mahu memperbaiki prestasi dan benar-benar terbuka untuk mendapatkan pandangan seseorang yang mempunyai pengalaman lebih banyak daripada mereka."

United bakal berdepan Valencia dan pada masa yang sama, tempat mereka dalam pusingan 16 sudah terjamin dengan kemenangan akan membantu mereka menawan Kumpulan H seandainya Juventus gagal mengalahkan Young Boys.

Mourinho merancang untuk memberi peluang kepada beberapa pemain untuk mencuri perhatian, namun pemain muda, James Garner dan Mason Greenwood, tidak akan terlibat dari awal permainan.

"Mereka tidak akan memulakan perlawanan. Garner akan berada di bangku simpanan dan Mason adalah pemain simpanan jika berlakunya sebarang kecederaan.

"Kami akan menurunkan pemain yang perlu bermain, kami mempunyai pemain yang layak bermain. Kami meninggalkan beberapa pemain di Manchester, namun kami akan menurunkan barisan utama.

"Bola sepak adalah bola sepak dan apa saja boleh berlaku tetapi kebiasaannya, Juventus harus memenangi perlawanan di Switzerland.

"Jadi, saya tidak fikir keputusan perlawanan ini akan memberi kesan kepada pasukan di tangga pertama dan kedua.

"Namun, kami adalah Manchester United, golongan pemain profesional yang mahu melakukan sesuatu dengan baik."