MANCHESTER UNITED 2 TOTTENHAM 1

Jose Mourinho menggesa Alexis Sanchez untuk melakukan perkara asas bagi memimpin kejayaan Manchester United -- mengulangi cabaran yang dipertaruhkan kepada Paul Pogba awal bulan ini.


Sanchez menjaringkan gol penyamaan ketika United meraih kemenangan 2-1 ke atas Tottenham dalam separuh akhir Piala FA, awal pagi tadi, selepas cemerlang menanduk masuk daripada hantaran silang Pogba pada minit ke-23.

Spurs mendahului pada minit ke-11 menerusi Dele Alli, namun harapan mereka untuk memburu penghormatan dalam tempoh 10 tahun musnah apabila Ander Herrera menyudahkan gol dalam serangan balas selepas sejam perlawanan.

Sanchez dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan sejak tiba di United dari Arsenal pada Januari lalu.

"Saya akan memberitahu Alexis seperti yang saya katakan kepada Paul beberapa minggu lalu," kata Mourinho, merujuk kepada aksi pemain tengah Perancis itu yang menjadi pencetus kemenangan 3-2 mereka dalam 'derby' Manchester.

"Saya tidak boleh menjangka pemain saya menjadi Pemain Terbaik dalam setiap perlawanan, saya tidak boleh mengharapkan mereka menjaringkan gol setiap perlawanan, saya tidak boleh mengharapkan mereka menjadi sempurna setiap perlawanan.

"Apa yang saya harapkan adalah tahap tertentu dan tahap itu adalah perkara asas dalam perlawanan.

"Jika kamu melakukan perkara asas dan kemudian dalam beberapa perlawanan, bakat kamu muncul dan membuat perbezaan yang baik.

"Saya tidak menunggu Alexis menjaringkan gol lagi dalam perlawanan seterusnya dan menjadi Pemain Terbaik dan sebagainya.

"Saya hanya mahu mereka konsisten dan dalam kes Alexis, keadaan dia akan lebih baik musim depan, lebih baik untuk menjadi pemain teratas untuk kami kerana saya tidak menyukai pasaran Januari," ujarnya.