Bintang sensasi Kelantan, Mohd Danial Ashraf Abdullah, menyifatkan tiga gol jaringannya dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Presiden menentang Selangor sebagai motivasi tambahan untuknya terus meledakkan gol dalam usaha The President Warriors mengekalkan kejuaraan.

“Puas hati dengan sokongan rakan sepasukan yang mencipta peluang untuk saya menjaringkan hatrik malam ini. Lebih manis, ia dapat lakukan di gelangang sendiri dan bekalan terbaik untuk menghadapi separuh akhir kedua di Shah Alam.

“Bukannya mudah untuk mengalahkan Selangor tetapi semua pemain telah memberikan aksi terbaik dan mengikut arahan yang diberikan ketua jurulatih, Hashim Mustapha,” katanya.

Mohd Danial Ashraf, 19, yang juga bekas pemain Harimau Muda C, yakin prestasi The President Warriors akan terus memuncak sehingga ke final dan mampu mengekalkan kejuaraan ini di bumi Kelantan.

“Alhamdulillah semangat rakan sepasukan semakin meningkat dan kami yakin mampu beraksi lebih baik dalam pusingan kedua di Shah Alam, sekaligus mara ke final,” katanya.

Untuk rekod, sentuhan pemusnah Danial Ashraf dalam saingan Piala Presiden musim ini cukup berbisa apabila merekodkan 17 jaringan peribadi dan koleksi ini dijangka bertambah menjelang saingan separuh akhir kedua bertemu skuad Merah Kuning, minggu depan.