Jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, mengakui faktor siapa lawan yang akan dihadapi menjadi penentu kepada nasib skuad Harimau Malaya, sama ada mampu atau sebaliknya untuk melepasi pusingan pertama play-off kelayakan Piala Dunia 2022, Jun ini.

Cheng Hoe menanti penuh debar keputusan undian play-off pertama Piala Dunia 2022 di ibu pejabat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Bukit Jalil, esok.

Menghuni ranking ke-168 dunia dan 35 Asia, pasukan yang dijangka menjadi lawan skuad negara ialah Bangladesh, Guam, Brunei, Timor Leste, Pakistan dan Sri Lanka.

Ia dilihat mudah buat Harimau Malaya, namun perlawanan yang akan diadakan ketika Hari Raya Aidilfitri itu mengundang kerisauan Cheng Hoe.

Lantas, tiada lain Cheng Hoe hanya mengharapkan tuah dalam undian kelak supaya pasukannya tidak diundi menentang pasukan yang memerlukan perjalanan jauh.

"Faktor berpuasa dan Hari Raya Aidilfitri selalu mengganggu fokus dan mental pemain.

"Ini kerana sudah menjadi budaya kita untuk menyambut Hari Raya di samping keluarga.

"Nampaknya tahun ini kami terpaksa berkorban demi negara," ujarnya.

Skuad negara perlu memastikan tempat ke pusingan kedua bagi mengelak daripada menjejaskan misi peta hala tuju Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), F:30.

Anak buah Cheng Hoe terpaksa menempuh aksi play-off itu setelah gagal menempatkan diri dalam kedudukan 34 Asia susulan kegagalan dalam kempen Piala Airmarine, bulan lalu.

"Pemain ingin menebus kehampaan dalam Piala Airmarine dan kami mahukan kemenangan kerana ia boleh menyuntik keyakinan kami sekiranya kami layak ke peringkat kumpulan kelayakan Piala Dunia 2022," katanya lagi.