Pemain Real Madrid, Luka Modric, menganggap khabar angin yang mengatakan dia cuba berbincang dengan Inter Milan mengenai sebarang perpindahan sebagai satu perkara yang paling tidak masuk akal.

Real Madrid telah menghantar aduan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas mendakwa skuad Nerrazurri telah menghubungi pemain Croatia itu secara tidak sah.

Laporan La Gazzetta dello Sport pula mendedahkan pihak FIFA telah berbincang dengan Modric sebagai salah satu daripada proses penyiasatan, di mana tonggak Croatia itu dikatakan terlebih dahulu menghubungi kelab Serie A berkenaan tatkala dia mahu beraksi bersama Marcelo Brozovic, Ivan Perisic dan Sime Vrsaljko.

Futbol al Reves turut melaporkan situasi itu melalui laman Instagram kelmarin dan Modric telah menafikan laporan tersebut.

"Satu perkara yang paling tidak masuk akal dalam sejarah!" kata pemain berusia 32 tahun itu.

Khabar angin mengaitkan Modric ke Inter itu telah mencetuskan rasa kurang senang dalam persekitaran jendela perpindahan di Itali dan Sepanyol.

Pada minggu lalu, pengendali Inter, Luciano Spalletti, mendakwa Modric telah menyatakan keinginan untuk ke San Siro walaupun Presiden Los Blancos, Florentino Perez, menegaskan nilai tidak kurang daripada klausa perpindahan bekas pemain Tottenham Hotspur itu, EUR750 juta (RM3.5 bilion), perlu dibayar sekiranya ada kelab yang berminat.

Presiden LaLiga, Javier Tebas, kemudian menyifatkan tindakan Inter sebagai tidak profesional apabila berbincang mengenai perpindahan Modric dan bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang.

Modric masuk sebagai pemain gantian sewaktu Madrid menundukkan Getafe 2-0 dalam aksi LaLiga di Santiago Bernabeu, Ahad lalu.

Pemain tengah itu dinamakan sebagai salah seorang daripada tiga calon untuk anugerah Pemain Terbaik Tahunan UEFA kelmarin bersama-sama Mohamed Salah dari Liverpool dan bekas rakan sepasukan, Cristiano Ronaldo.