Luka Modric lebih suka seandainya Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi hadir untuk menyaksikannya memenangi anugerah Pemain Lelaki Terbaik Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Bintang Real Madrid dan Croatia berkenaan menjulang anugerah itu dengan mengatasi Ronaldo dan Mohamed Salah di London, begitupun penggempur Juventus tersebut dan Messi terlepas untuk menghadiri upacara anugerah itu, awal pagi tadi.

Modric, yang membantu Madrid memenangi Liga Juara-Juara (UCL) sebelum memimpin Croatia ke final Piala Dunia di Russia, berkata dia mahu kedua-dua pemain itu dalam majlis berkenaan.

"Semua orang mempunyai sebab tersendiri," katanya.

"Sudah tentu, saya lebih senang mereka berada di sini tetapi mereka tidak."

Ditanya apakah dia telah bercakap dengan bekas rakan sepasukannya, Ronaldo, Pemain Terbaik UEFA itu berkata: "Tidak."

"Dia menghantar mesej kepada saya pada hari majlis Anugerah UEFA tetapi untuk yang ini, belum ada," katanya. "Saya tidak membawa telefon sekarang, jadi mungkin dia telah menghantar mesej."

Ronaldo, pemenang anugerah itu dua tahun lalu, menduduki tempat kedua di belakang Modric.

Modric, 33, tidak berminat untuk membincangkan sama ada dia layak mendapat penghormatan berkenaan.

"Saya tidak mahu memasuki perbahasan sama ada layak atau tidak," katanya.

"Saya hanya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang mengundi atas sokongan mereka dan mahu meneruskan seperti yang saya ada sehingga sekarang."