Bintang Real Madrid, Luka Modric, mahu kekal bersama gergasi bola sepak Sepanyol itu untuk tempoh yang lebih lama.

Modric, yang dikaitkan dengan pasukan Serie A, Inter Milan, pada awal musim ini, masih mempunyai kontrak bersama Madrid hingga 2020.

Pemenang Ballon d'OR berusia 33 tahun itu amat gembira di Santiago Bernabeu dan sedang berkira-kira untuk melanjutkan kontraknya.

"Saya masih mempunyai kontrak yang berbaki satu setengah tahun.

"Saya masih tenang memandangkan ia masih tempoh yang lama.

"Saya ingin kekal dalam pasukan ini untuk tempoh yang lebih lama.

"Saya sentiasa gembira sejak hari pertama tiba di sini," katanya.

Modric ditemui selepas menjaringkan gol ketika membantu kemenangan 2-0 Madrid ke atas Sevilla dalam saingan LaLiga, malam tadi.

Casemiro meletakkan Madrid di depan menerusi jaringan jarak jauh sensasi pada minit ke-78 sebelum Modric mengesahkan kemenangan itu dalam masa kecederaan.

Kemenangan itu menyaksikan Madrid memintas Sevilla di tangga ketiga dan ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu liga, Barcelona.

"Saya amat gembira kerana kami memaparkan aksi yang baik.

"Kami gembira dengan kemenangan dan tiga mata yang diperoleh.

"Kami perlu menempuhi laluan ini dan setiap pemain memaparkan aksi yang digemari.

"Penyokong pasti mahu menyaksikan aksi seperti itu.

"Kami memerlukan perlawanan seperti itu untuk menggembirakan pasukan dan penyokong.

"Saya amat gembira seperti mana saya gembira sepanjang mewakili pasukan ini.

"Kami tidak mahu memikirkan tentang Barcelona.

"Kami akan melaluinya menerusi satu persatu perlawanan.

"Kami perlu terus berjuang untuk melihat hasilnya pada penghujung musim.

"Itu yang kami perlu lakukan, tidak perlu memikirkan tentang perkara-perkara lain," tambahnya.