Ketua pasukan Real Madrid, Sergio Ramos, mengucapkan terima kasih kepada Luka Modric sambil menyatakan pemain tengah itu layak menerima Anugerah Pemain Terbaik Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Selepas membantu Madrid menjulang gelaran Liga Juara-Juara (UCL) dan memimpin Croatia ke final Piala Dunia Russia, Modric menjulang anugerah itu ketika berdepan saingan daripada Cristiano Ronaldo dan Mohamed Salah, awal pagi tadi.

Ramos berkata pemain tengah berusia 33 tahun itu yang tiba di Madrid pada 2012 itu layak untuk memenangi anugerah berkenaan.

"Saya gembira dengan kemenangannya," kata pertahanan tersebut.

"Dia layak, dia adalah pemain yang cemerlang dan telah menandakan satu era penting dalam sejarah Real Madrid."

Bagaimanapun, Ronaldo dan bintang Barcelona, Lionel Messi, dikritik kerana terlepas majlis anugerah berkenaan.

Ramos berkata duo bintang itu -- yang kedua-duanya dinamakan dalam Kesebelasan Dunia FIFPro -- sepatutnya hadir.

"Adalah baik untuk Cris dan Leo berada di sini," katanya.