James Milner percaya Liverpool mampu memberi masalah kepada Barcelona dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) di sebalik perlu melupakan mimpi buruknya di Nou Camp.

Milner merupakan sebahagian daripada skuad Manchester City bimbingan Manuel Pellegrini ketika mereka tersingkir dalam pusingan 16 pada 2014 dan 2015.

The Reds bakal berdepan Lionel Messi dan Barca dalam separuh akhir selepas mengatasi Porto dan pemain berusia 33 tahun itu percaya corak permainan pasukan di bawah kendalian Jurgen Klopp mampu memberikan cabaran.

"Kami mampu mengatasi Barca tetapi menyedari ia adalah tugas yang sukar," kata Milner. "Saya telah beraksi Nou Camp beberapa kali. Saya berharap tuah kali ketiga memihak saya.

"Barca adalah pasukan yang sukar tetapi saya berasakan mereka belum berdepan corak permainan yang digunakan Liverpool.

"Saya berasakan kami berpeluang untuk mengatasi mereka tetapi segalanya boleh berlaku."

Tumpuan The Reds kini beralih kepada saingan Liga Perdana Inggeris berdepan Cardiff City yang bersaing untuk mengelak daripada penyingkiran selepas City berdepan Tottenham buat kali kedua minggu ini selepas mereka tersingkir daripada UCL.

Liverpool dan City sedang berebut untuk menghuni tangga teratas dan Milner percaya mereka perlu menang setiap perlawanan berbaki untuk bergelar juara.

"Kami perlu menang setiap perlawanan dan akan berusaha untuk melakukannya.

"Masih berbaki beberapa lagi perlawanan dan ia bukan satu tugas yang mudah. Tetapi kami berada di tahap terbaik untuk mencipta kejayaan."