Eder Militao berikrar mengerah segala kudrat untuk melakar sejarah bersama Real Madrid selepas menyempurnakan perpindahannya daripada Porto.

Real mengesahkan Mac lalu bahawa persetujuan telah dicapai untuk menandatangani Militao selepas kelab itu mengaktifkan klausa perpindahannya yang bernilai €50 juta (RM232.5 juta).

Selepas berakhirnya komitmen pemain tersebut dalam saingan Copa America selaku tuan rumah dan juara, Brazil, pemain berusia 21 tahun itu telah diperkenalkan sebagai pemain Los Blancos, semalam.

Militao, yang membuat satu penampilan sebagai pemain gantian di Brazil, berkata menyertai Real merupakan salah satu impiannya.

"Saya sangat gembira kerana bakal bermain untuk kelab terbaik dunia," katanya.

"Sejak kecil lagi, saya mahu bermain dalam kelab terbesar dan saya mahu mengucapkan terima kasih kepada presiden kelab dan seluruh peminat Real kerana meletakkan keyakinan terhadap saya.

"Saya akan memberikan jaminan akan turun menampilkan permainan terbaik apabila menyarung jersi ini. Saya berharap dapat mengharungi musim yang cemerlang dan mencipta sejarah bersama pasukan."

Berupaya turun selaku pertahanan tengah atau kiri, Militao dijangka akan memberikan persaingan dalam skuad utama.

"Saya seorang pemain yang boleh bermain di banyak posisi. Saya juga gemarkan persaingan kerana ia mencabar diri saya untuk menjadi yang terbaik.

"Menyedari Real dibarisi pertahanan yang berkualiti, saya mahu berdiri seiring dengan mereka," tambahnya.

Militao merupakan pemain pertama yang ditandatangani oleh ketua jurulatih, Zinedine Zidane, sebelum mendapatkan khidmat pemain seperti Eden Hazard, Luka Jovic dan Ferland Mendy.

Presiden kelab, Florentino Perez, menerima kedatangan pemain muda itu dan menyifatkan dia sebagai salah seorang pertahanan berkualiti.

"Menang ia merupakan sebahagian daripada DNA kelab dan tiada sesiapa yang mengalah di sini," katanya. "Hari ini merupakan hari penting buat kami dan kelab telah meraih salah seorang pertahanan terbaik dunia.

"Militao baru sahaja berusia 21 tahun, dia sudah menyesuaikan diri dengan bola sepak Eropah dan memainkan peranan yang besar di benteng pertahanan Porto musim lalu."