Pengarah Lazio, Igli Tare, tidak mahu menetapkan harga buat Sergej Milinkovic-Savic tetapi menyifatkan pemain tengah itu bernilai lebih daripada EUR90 juta (RM428 juta).

Milinkovic-Savic kini dikaitkan dengan gergasi England, Manchester United, serta juara Eropah, Real Madrid, sementara kelab mewah Perancis, Paris Saint-Germain (PSG), turut dilaporkan berminat dengan khidmat pemain berusia 23 tahun itu.

Bagaimanapun, sehingga kini Lazio masih belum menetapkan sebarang harga buat pemain kebangsaan Serbia itu sehingga Tare mengeluarkan kenyataan kepada Sportitalia, semalam.

"Saya tidak tahu berapa nilainya dan tidak mahu memikirkannya.

"Apa yang pasti, ia melebihi harga sekitar RM428 juta. Milinkovic-Savic adalah pemain penting buat kami dan masih belum mencapai tahap terbaiknya. Terdapat ramai pemain yang boleh ditemui dan diperkembangkan.

"Saya mahu menjelaskan Lazio tidak pernah meletakkan sebarang tanda harga buat Milinkovic-Savic. Kami menerima tawaran sekitar harga itu pada musim panas lalu tetapi kami tidak mempertimbangkannya.

"Setakat ini, memang wujud minat terhadapnya tetapi tiada yang serius. Kami tidak pernah berbincang dengan Real Madrid," kata Tare.

Sementara itu, Tare mendedahkan pemain yang bakal memegang status ejen bebas, Stefan de Vrij, bakal menyertai seteru utama, Inter Milan, selepas tamat musim 2017/18.

Selepas Virgil Van Dijk mengesahkan keinginan rakan senegaranya untuk meninggalkan Lazio, Tare tampil mengulas perkara itu.

"Saya berharap De Vrij dapat memberikan khidmat terbaik sehingga tamat musim seperti yang dilakukannya sebelum ini.

"Besar kemungkinan dia akan bergelar pemain Inter selepas ini," ujarnya.