Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini menarik balik tuntutan saman terhadap Telekom Malaysia Berhad (TM) berhubung isu pembayaran hak penyiaran Liga Malaysia (Liga-M).

MFL dalam satu kenyataan hari ini enjelaskan keputusan menarik balik tuntutan saman melalui notis pemberhentian yang difailkan di Mahkamah Tinggi 21 Mac lalu, dibuat menerusi persetujuan bersama Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam satu mesyuarat baru-baru ini.

Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin, dalam kenyataan tersebut berkata tindakan menarik balik saman terhadap TM membuktikan semangat kesukanan tinggi yang telah terjalin di antara pengendali Liga-M dan syarikat gergasi telekomunikasi negara itu.

“Saya mengesahkan bahawa MFL telah bersetuju untuk menarik balik tuntutan saman terhadap TM selepas mencapai persetujuan dengan kesemua barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL.

“Tindakan MFL menarik balik saman terhadap TM berkaitan isu pembayaran hak penyiaran Liga Malaysia musim 2019 membuktikan semangat kesukanan di antara MFL dan TM, di mana saya percaya kami boleh mencari titik persamaan demi kebaikan bersama," katanya dalam kenyataan itu.

Jelas Hamidin, tindakan menarik balik tuntutan saman itu juga demi kelangsungan hubungan baik di antara dua entiti tersebut selain mewujudkan suasana kondusif dalam memajukan bola sepak negara.

"Saya optimis bahawa situasi ini akan menjadikan hubungan MFL dan TM terjalin lebih utuh, di mana saya percaya semua peminat bola sepak mahu melihat suasana kondusif dapat diwujudkan, sekali gus memberikan mesej bahawa syarikat korporat perlu bergerak seiring dalam memajukan bola sepak negara,” katanya.

TM sebelum ini menandatangani kontrak perjanjian selama lapan tahun pada Januari 2018 dengan jumlah tajaan keseluruhan yang difahamkan sekitar RM480 juta.

Namun, 15 Mac lalu, MFL mengumumkan untuk menamatkan kontrak tersebut berkuat kuasa serta-merta selepas TM didakwa gagal menjelaskan pembayaran hak penyiaran musim ini.

-- BERNAMA