Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak dengan Telekom Malaysia Berhad (TM) berkuat kuasa serta-merta selepas penaja utama Liga Malaysia (Liga-M) itu gagal menjelaskan pembayaran hak penyiaran musim ini.

Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berkata keputusan tersebut diambil selepas perbincangan untuk meneruskan perjanjian kerjasama penajaan dengan TM tidak berjalan lancar.

Justeru, baginda meminta Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, untuk mengadakan perbincangan rasmi dengan pihak yang berminat menjadi penaja baru Liga-M musim ini.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang disampaikan oleh Kevin selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL menerusi persidangan video.

“Sebelum ini kami mendapat pertanyaan secara tidak rasmi apabila ada pihak mendengar khabar angin bahawa TM tidak mahu meneruskan tajaan Liga-M, namun kami sentiasa menghormati kontrak bersama TM.

“Seperti kami pernah umumkan dahulu, kami sentiasa menjadi rakan kongsi yang baik kepada TM dan mahu memberi mereka masa untuk menyelesaikan masalah yang mereka hadapi,” katanya.

Selain itu, katanya, MFL sudah banyak kali berusaha mengadakan perbincangan dengan pihak TM tetapi langkah itu menemui jalan buntu.

Oleh itu, katanya, MFL tidak boleh terus menunggu kerana mempunyai tanggungjawab untuk menguruskan Liga-M.

TM sebelum ini menandatangani kontrak perjanjian selama lapan tahun Januari tahun lalu dengan jumlah keseluruhan yang difahamkan sekitar RM480 juta.

Dalam masa sama, Tunku Ismail meminta semua pihak, khususnya pemegang taruh MFL yang terdiri daripada 24 pasukan Liga-M, agar tidak bimbang di sebalik penamatan kontrak penajaan tersebut.

“MFL sentiasa mengorak langkah untuk menjaga kepentingan pasukan dengan mencari jalan mengukuhkan kewangan pasukan bertanding dalam Liga-M,” katanya.

"Setakat ini tiada impak yang akan berlaku dalam masa terdekat bagi saingan Liga-M. Tunku Ismail telah menegaskan kebimbangan tidak perlu dihadapi oleh kesemua pasukan yang bersaing kerana MFL akan berusaha untuk mendapatkan penajaan yang baru," kata pemerhati bola sepak negara, Asmawi Bakiri.

Menurut peguam MFL, Faisal Moideen: "Kami tidak boleh membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut. Tetapi kami tidak memiliki sebarang pilihan untuk menamatkan penajaan TM bagi saingan Liga- M."

-- BERNAMA