Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam, mengesahkan pentadbir Liga Malaysia (Liga-M) itu berkemungkinan akan memansuhkan jawatan pengerusi sebagai salah satu daripada penstrukturan semula organisasi itu.

Beliau berkata cadangan pemansuhan jawatan itu adalah sebahagian daripada penstrukturan semula pentadbiran yang terkandung dalam MFL Next50 Strategic Blueprint 2021-2070 yang dilancarkan di Johor Bahru, 15 Julai lalu.

Tambahnya, Pengerusi MFL ,Tunku Ismail Sultan Ibrahim, bersetuju dengan penstrukturan semula itu kerana baginda tidak mahu MFL menerima tempias dan kritikan kononnya baginda memiliki sentimen berat sebelah selaku pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT).

Beliau memaklumkan Tunku Ismail melihat penstrukturan semula itu bakal memantapkan pentadbiran MFL yang tidak lagi diterajui oleh seorang pengerusi, sebaliknya dikawal sepenuhnya oleh ahli lembaga pengarah.

Mengulas lanjut, Kevin menegaskan keputusan untuk meminda perlembagaan itu bergantung kepada persetujuan 24 rakan kongsi MFL, iaitu pasukan yang bertanding dalam Liga-M dalam kongres yang dijangka diadakan September depan.

"Agak mustahil untuk MFL beroperasi sekiranya terdapat persepsi negatif yang berterusan jika mana-mana satu wakil dilihat mempunyai kuasa yang lebih tinggi berbanding orang lain.

"Namun, ini cuma persepsi kerana pengerusi MFL (Tunku Ismail) tidak pernah menggunakan mana-mana kuasanya sebagai pengerusi untuk mempengaruhi sesuatu keputusan.

“Untuk makluman, ada beberapa kali pengerusi MFL enggan mengundi dalam sesuatu mesyuarat dalam membuat keputusan.

"Ini untuk memastikan ahli lembaga pengarah dapat membuat keputusan dengan lebih bebas," katanya.

Dalam perkembangan sama, Kevin memaklumkan sebarang penstrukturan semula yang dicadangkan perlu diluluskan dalam mesyuarat rakan kongsi liga MFL yang dijangka diadakan selepas berakhirnya final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

"Apabila rakan kongsi mengadakan mesyuarat, mereka akan mengundi untuk meluluskan sebarang perubahan dalam struktur MFL tetapi niat TMJ (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail) sangat jelas dan baginda konsisten dalam membuat keputusannya untuk kepentingan MFL.

“Saya dapat melihat maksudnya dan tujuannya dan hanya seorang pemimpin berkaliber yang dapat merancang dan melaksanakan semua yang telah dilakukannya, termasuk keinginan untuk memastikan MFL memenuhi standard tadbir urus tertinggi dan jangkaan rakan kongsi," jelasnya lagi.

Beliau turut menolak dakwaan segelintir pihak yang mendakwa kejayaan JDT meraih pelbagai trofi sejak beberapa musim lalu berpunca daripada pengaruh Tunku Ismail selaku pengerusi MFL.

“Ini adalah kenyataan yang tidak masuk akal kerana JDT memenangi banyak trofi sebelum TMJ dilantik pengerusi MFL dan dengan perancangan yang ada, mereka akan tetap memenangi trofi selepas TMJ bukan lagi menjadi pengerusi," katanya lagi.

-- BERNAMA