Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) tidak menolak kemungkinan untuk menyekat geran tahunan kepada mana-mana pasukan yang masih belum menyelesaikan tunggakan gaji musim lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, menjelaskan tindakan berkenaan terpaksa diambil susulan kegagalan beberapa pasukan menyelesaikan isu berkenaan walaupun sudah diberi peringatan sebelum ini.

"Mereka yang menunggu geran daripada MFL untuk menyelesaikan hutang pemain boleh tunggu sampai bila-bila. Geran ini untuk musim 2019 dan jika kami berikan geran ini kepada pasukan terlibat, kemudian mereka gunakan geran itu untuk menyelesaikan hutang mereka yang lepas, apa akan terjadi pada musim 2019?

"Kami akan mengalami kitaran yang sama sahaja, jadi perkara ini harus dihentikan. Selesaikan dahulu tunggakan gaji sebelum kami beri geran untuk musim 2019,” katanya.

Kevin berkata demikian ketika ditemui selepas hadir dalam majlis menandatangani perjanjian penajaan bagi musim kedua berturut-turut di antara MFL dan Shopee yang merupakan peneraju platform e-dagang terkemuka rantau ASEAN dan Taiwan, di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut, Kevin berkata sebarang tindakan susulan yang akan diambil ke atas pasukan yang gagal menyelesaikan isu tunggakan gaji, termasuk pemotongan mata atau penyingkiran ke liga bawahan, perlu dibawa ke mesyuarat anggota Lembaga Pengarah MFL yang akan membuat keputusan muktamad.

Beberapa pasukan sebelum ini dilaporkan gagal menjelaskan tunggakan gaji pada musim lalu, termasuk Felda United, Perlis dan PDRM.

Sementara itu, Kevin menjelaskan MFL dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedang mempercepatkan proses penubuhan Pegawai Perlawanan Profesional Malaysia (PMOM) yang merupakan badan pengadil profesional di negara ini.

Idea penubuhan PMOM oleh MFL dan FAM terhasil selepas dua entiti bola sepak negara itu mengadakan perjumpaan bersama badan induk pengadil profesional Liga Perdana Inggeris, Professional Game Match Officials Limited (PGMOL), di London baru-baru ini.

Beliau memaklumkan MFL sedang menilai calon sesuai sebagai Pengurus Besar PMOM yang berpengalaman luas dalam bidang pengadilan selain pentadbiran bola sepak bagi memastikan mutu pengadilan dalam Liga Malaysia bertambah baik untuk masa akan datang.

"Kami perlu mencari seseorang yang sesuai dengan persekitaran bola sepak di Malaysia dan boleh sesuaikan diri dengan keadaan di sini," tegas Kevin.

-- BERNAMA