Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tetap akan menggunakan khidmat 'pakar' luar negara sebagai pengurus besar Pegawai Perlawanan Profesional Malaysia (PMOM) walaupun tampak berdepan kekangan kewangan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingan, mengesahkan badan pentadbir Liga Malaysia (Liga-M) itu sudah mempunyai calon untuk menerajui PMOM.

Enggan mendedahkan nama individu terbabit, Kevin mengesahkan calon dari Eropah itu pernah berkhidmat dengan liga terkemuka dunia.

Bagaimanapun, perkara itu diputuskan MFL tatkala mereka kehilangan penaja utama musim ini selepas menamatkan kontrak penajaan bersama Telekom Malaysia (TM) semalam.

"Sudah semestinya kewangan MFL akan menyusut (akibat penamatan penajaan dengan TM) yang membawa erti semakin banyak perancangan tidak dapat dilaksanakan.

"Apapun, operasi MFL tidak terjejas untuk meneruskan usaha ketika ini.

"Sudah pasti MFL mahu melaksanakan segala perancangan inisiatif, misalnya seberapa ramai pengadil yang boleh dilantik secara profesional.

"Mungkin kami masih boleh melaksanakan langkah itu berdasarkan peruntukan yang sesuai," katanya.

MFL dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini sepakat menubuhkan badan bebas pengadil, PMOM, dalam usaha memperkenalkan pengadil profesional.

"Beliau akan mengadakan temu duga terakhir dengan Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dan Ahli Lembaga Pengarah MFL pada minggu pertama bulan depan. Jika semuanya berjalan lancar, kami harap beliau boleh memulakan tugas pada 1 Jun depan.

"Ia satu langkah permulaan ke arah PMOM," tambahnya.

Sementara itu, nasib enam pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji dan melanggar tempoh pendaftaran Liga-M turut sudah diputuskan Ahli Lembaga Pengarah MFL.

Ahli Lembaga Pengarah MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin, bagaimanapun mengesahkan keputusan rasmi mengenai bentuk hukuman ke atas pasukan terbabit akan diumumkan dalam masa
terdekat.

Terdapat tiga kemungkinan hukuman yang boleh dikenakan ke atas mereka, termasuk denda, pemotongan mata atau sekatan perpindahan pemain baru.

"Terlebih dahulu, MFL perlu memaklumkan kepada semua persatuan esok.

"Banyak proses dan makluman perlu disampaikan dan selepas itu, barulah FAM boleh memaklumkan kepada media," ujar Hamidin.