MEXICO 2 KOREA SELATAN 1

Javier Hernandez menjaringkan gol ke-50 di peringkat antarabangsa untuk membawa Mexico mendekati peringkat kalah mati setelah melepasi rintangan Kumpulan F, Piala Dunia Russia menerusi kemenangan 2-1 ke atas Korea Selatan, sebentar tadi.


Penyerang utama Mexico itu dikawal kemas barisan pertahanan Korea Selatan dalam pertembungan di Rostov-on-Don itu, namun dia memenuhi kesempatan yang tiba pada minit ke-66 untuk menambah duka lawan melalui satu serangan balas.

Jaringan Hernandez itu terbukti penting buat Mexico, yang mengalahkan juara bertahan, Jerman, 1-0 minggu lalu untuk mempamerkan prestasi yang lebih baik, dengan Korea Selatan cuba menyerlahkan kebangkitan susulan memberikan penalti pada minit ke-26 yang disudahkan Carlos Vela.

Segala-galanya tidak semestinya lancar buat pasukan kendalian Juan Carlos Osorio itu, yang menyaksikan Lee Yong dan Son Heung-min melepaskan peluang keemasan pada awal permainan.

Bagaimanapun, bola yang terkena tangan Jang Hyun-soo menyebabkan pengadil, Milorad Mazic, tiada pilihan kecuali menghadiahkan penalti-- jumlah penalti yang diberikan dalam temasya Russia 2018 telah melepasi rekod dalam satu kejohanan Piala Dunia, iaitu 13 kali -- dan disempurnakan Vela, yang mengumumkan kematian bapa saudaranya sejurus selepas kemenangan ke atas Jerman.

Jaringan Hernandez itu bermakna Mexico akan maju ke pusingan 16 seandainya Jerman gagal menumpaskan Sweden, sambil gol Son Heung-min pada lewat permainan belum cukup untuk menyekat Korea Selatan daripada tersingkir awal.