JERMAN O MEXICO 1

Jerman memulakan kempen mempertahankan gelaran dalam Piala Dunia 2018 dengan kekalahan susulan dibenam Mexico 1-0 di Moscow, sebentar tadi.


Pasukan bimbingan Joachim Low itu menjejakkan kaki di Russia dengan prestasi kurang meyakinkan berikutan hanya menang sekali dalam enam perlawanan persahabatan sejak layak ke temasya Russia 2018 dengan rekod 100 peratus.

Keresahan awal itu terbukti apabila Mexico mempamerkan aksi lebih bertenaga dan hampir tidak memberi peluang kepada lawan mereka untuk mendapat rentak pada awal permainan.

Mereka meraih ganjaran hasil daripada pendekatan positif dengan gol tunggal permainan hadir pada minit ke-35 yang menyaksikan Hirving Lozano menyudahkan satu serangan balas dengan rembatan padu.

Joshua Kimmich dan Timo Werner kedua-duanya hampir mengimbangi kedudukan dalam babak kedua, namun Mexico mampu bertahan untuk kemenangan bermakna itu, sekali gus meletakkan mereka di laluan yang lebih selesa.

Low kini perlu mengembalikan semangat anak buahnya bagi aksi berikutnya dalam Kumpulan F menentang Sweden pada Sabtu ini, sementara Mexico sedar kemenangan ke atas Korea Selatan pada hari yang sama akan memberi mereka peluang yang baik untuk melayakkan diri ke peringkat kalah mati.

Manuel Neuer turun dalam aksi kompetitif pertamanya sejak September lalu dan ketangkasannya diperlukan pada minit pertama selepas Jerome Boateng gagal menyekat usaha jarak dekat Lozano.

Berselang beberapa minit, Werner melepaskan rembatan amaran untuk menguji Guillermo Ochoa yang menjadi benteng akhir Mexico.

Sebarang tanggapan bahawa Mexico akan ditenggelami barisan bintang Jerman meleset sejurus setengah jam berlangsung yang menyaksikan Hector Moreno menanduk tepat ke arah Neuer.

Jerman kelihatan terkejut dengan keberanian dan kekuatan Mexico, namun akhirnya ketinggalan 10 minit sebelum menuju rehat.

Hantaran satu-dua di antara Javier Hernandez dan Andres Guardado memastikan dia meloloskan diri daripada kepungan Mats Hummels lalu lorongannya menemui Lozano yang berada di sebelah kiri.

Penggempur PSV itu kemudian mengacah Mesut Ozil yang turun membantu pertahanan sebelum menghalakan rembatannya ke sebelah kanan Neuer yang tidak terdaya menghalang.

Kelebihan itu nyaris dipadamkan dua minit kemudian, bagaimanapun ketika Toni Kroos menyasarkan sepakan percumanya ke sudut atas, Ochoa tangkas menolak bola yang sekadar menyinggahi palang.

Bagaimanapun, sebarang tanggapan bahawa anak buah Low akan bangkit dalam separuh kedua gagal menjadi kenyataan.

Selepas melepaskan beberapa peluang keemasan di peringkat penghujung, terutama melalui Miguel Layun, Mexico bernasib baik apabila usaha terakhir Julian Brandt sedikit tersasar.