Messi tidak gentar jumpa Croatia

Oleh Staff Writer 14 Januari 2018 1428
Messi tidak gentar jumpa Croatia
Pemain tengah Barcelona, Ivan Rakitic, percaya Croatia mampu melakukan kejutan dalam saingan Piala Dunia 2018 di Russia, namun tidak berasakan Lionel Messi akan gentar untuk berdepan dengan pasukannya.
 
Rakitic dan Messi yang merupakan rakan sepasukan di Barca bakal berentap mewakili negara masing-masing selepas Croatia dan Argentina dijadualkan bertemu di Nizhny Novgorod pada 21 Jun setelah diundi dalam Kumpulan D.
 
Croatia merupakan antara pasukan yang perlu diberikan perhatian berdasarkan  senarai pemain yang dimiliki seperti Rakitic, Luka Modric serta Ivan Perisic.
 
Bagaimanapun, pemain berusia 29 tahun itu tidak berasakan Messi akan risau dengan cabaran yang dijanjikan oleh Croatia.
 
“Jika saya minta dia agar berwaspada dengan kami, saya tidak rasa Messi akan gentar,” ujar Rakitic kepada Marca.
 
“Ia adalah Piala Dunia, medan untuk anda menentang pasukan yang hebat. Jika anda perlu berdepan pemain terhebat sepanjang zaman, itu lebih baik. Itulah perbezaan Piala Dunia,” tambahnya.
 
Rakitic juga optimis pasukannya mampu mara lebih jauh sebaik sahaja melepasi halangan peringkat kumpulan yang turut terdiri daripada Nigeria dan Iceland.
 
“Saya rasa kami berada dalam kumpulan yang paling sukar. Jika kami dapat melepasinya, saya percaya segala-galanya boleh berlaku.”
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen