Benteng Barcelona, Gerard Pique, menyifatkan Lionel Messi dan Luis Suarez sebagai gandingan terbaik dunia susulan kejayaan gergasi LaLiga itu membelasah Levante 5-0, awal pagi tadi.

Messi mencatat hatrik dan membuka ruang jaringan buat Suarez dan Pique tatkala pendahulu liga itu mengembalikan kelebihan tiga mata di kedudukan teratas.

Dua penggempur Barca itu kini telah menjaringkan lebih banyak gol berbanding Real Madrid dan Atletico Madrid di pentas tertinggi musim ini sambil Messi muncul satu-satunya pemain dalam lima liga terbaik Eropah yang meraih dua angka dalam kutipan gol dan bantuan jaringan musim 2018/19.

Pique berasakan bahawa sesuatu perlu diucapkan bagi menerangkan tentang kehebatan rakan sepasukannya itu.

"Dua puluh lapan, bersama saya!" Pique berjenaka di televisyen Sepanyol apabila ditanya mengenai jumlah 25 gol yang diraih oleh Messi dan Suarez dalam kempen LaLiga.

"Suarez dan Messi adalah pasangan depan gol yang terbaik sejak beberapa tahun lalu. Suarez memiliki jaringan dalam darahnya dan kami sudah katakan tentang Messi. Kami mempunyai tenaga hebat di barisan depan."

Kemenangan Barca bermakna mereka hanya memerlukan satu mata ketika berdepan Celta Vigo untuk memastikan mereka menamatkan 2018 dengan terus berada di puncak liga.

Bagaimanapun, Pique sedikit kecewa dengan tempoh rehat pertengahan musim tatkala pasukannya sudah menemui sentuhan.

"Kami sedang berada dalam prestasi positif dan mengecewakan apabila Krismas tiba kerana kami telah menemui sentuhan hebat," tambah Pique.

"Dalam beberapa hari lalu, kami bermain lebih baik, kurang melepaskan gol dan meraih banyak jaringan. Kami bertahan lebih bagus dan menampilkan aksi bola sepak menarik."